Benarkah Sistem Perbankan Islam di Malaysia tidak mengikut batasan syarak?. Padahal, media-media Malaysia sering menggambarkan bahawa Malaysia merupakan Hub Perbankan Islam Dunia?
Tetapi, itulah di antara kesimpulan yang dapat aku buat setelah mengikuti satu seminar kewangan dan perbankan Islam baru-baru ini.
Pengkaji system perbankan Islam mendapati bahawa 85% daripada produk perbankan Islam di Malaysia adalah melanggar Sistem Ekonomi Islam yang digariskan syarak kerana masih terlibat dengan riba.
Baru-baru ini, 18 Mei 2009, aku berpeluang mengikuti satu seminar iaitu “Sukuk Crucial Issues Seminar” yang telah dianjurkan oleh Syed Iskandar Syed Jaafar Corporate Advisory & Training yang bertempat di Cornwallis Suite, Eastern and Oriental Hotel, Georgetown, sebuah hotel 5 bintang yang terkenal di Pulau Pinang. Seminar ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada 10.30 malam hari yang sama.
Banyak perkara berkaitan sistem perbankan Islam yang telah dibangkitkan dan dibincangkan sepanjang seminar ini oleh dua orang pembentang kertas kerja iaitu yang pertama, Prof Dr Mahmood Sanusi bekas pensyarah UIA yang sekarang berkhidmat sebagai Proffesor in Islamic Banking & Finance, Takaful& Gold Dinar di Inceif University Bank Negara dan yang kedua Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al-Mahdzar seorang pengamal undang-undang yang juga mahir dalam bidang perbankan Islam.
Prof Dr Mahmood Sanusi dan Dr Syed Iskandar
Beberapa bukti telah dikemukakan atas dakwaan terhadap system perbankan Islam tidak Islamik.
Antaranya, bank-bank Islam memilih bulu dalam membuat perkongsian Musyarakah. Kebanyakan bank-bank Islam hanya membuat (kononnya) Musyarakah ini kepada golongan kaya (golongan mampu bayar sahaja). Tetapi mereka tidak mahu membuat perkongsian ini dengan orang yang tiada jaminan untuk membayar semula. Hal ini menurut penceramah terbabit adalah bertentangan dengan matlamat dan prinsip ekonomi Islam iaitu hak dan persamaan bagi semua golongan sama ada miskin atau kaya. Di sinilah terletaknya keadilan Islam katanya.
Selain itu, penipuan yang lebih menonjol dari system yang kononnya Islam ini ialah dalam urusan jual beli rumah. Dalam system ekonomi Islam, perjanjian pihak bank dengan pembeli adalah dengan pihak bank menjual sesuatu rumah kepada pihak pembeli dengan pihak bank mestilah menjual sesuatu (rumah) yang telah menjadi hak milik bank. Dalam bahasa yang lebih mudah, pihak bank mestilah terlebih dahulu membeli rumah tersebut daripada pihak pemaju perumahan, kemudian barulah menjual rumah tersebut pihak pembeli. Dan jika ada apa-apa masalah yang melibatkan rumah tersebut pihak pembeli mestilah berurusan dengan pemilik awal rumah tersebut iaitu pihak bank.
Tetapi apa yang diamalkan di Malaysia sekarang, apabila pihak pembeli mempunyai masalah dengan rumah yang dibeli, apabila diajukan kepada pihak bank, pihak bank terus saja lepas tangan dengan mengatakan itu adalah masalah pemaju.
Padahal, sepatutnya rumah itu adalah milik bank, dan mereka perlu bertanggungjawab apabila timbul masalah. Lebih malang kepada pembeli, apabila duit terus dipotong (untuk bayar rumah tersebut), tetapi rumah terbengkalai. Apabila diajukan kepada pihak bank (yang kononnya mengamalkan perbankan Islam), pihak bank menuding jari kepada pemaju.
Ini bukanlah prinsip-prinsip keadilan yang diajar oleh Islam. Prinsip-prinsip Islam penuh dengan keadilan dan tiada penindasan dan penganiayaan di dalamnya. Janganlah sampai perkara ini boleh menjatuhkan maruah Islam dengan menjadikan nama Islam sebagai jalan mencari keuntungan semata-mata.
Walaupun, perkara yang telah menjejaskan nama Islam ini sebenarna telah berlaku dalam satu kes, seorang pembeli melawan AFF** Islamik Bank. Di mana selepas penghakiman dilakukan Hakim telah mengatakan "Perbankan Konvensional adalah lebih baik daripada Perbankan Islam".
Bukankah ini telah merendah-rendahkan Islam. Padahal, "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya". Hal ini disebabkan pembeli tersebut perlu membayar 3 setengah kali ganda (hamper RM 1 juta) daripada harga asal rumah tersebut (lebih kurang RM 300,000), tetapi kalau menggunakan perbankan Konvensional hanya sebanyak lebih kurang RM500,000 sahaja.
Dalam menghadapi krisis perbankan Islam yang tidak diketahui khalayak umum ini, Prof Dr Mahmood Sanusi menegaskan, sepatutnya buat masa sekarang tidak perlu lagi menggunakan istilah perbankan Islam, dan mencadangkan setakat istilah perbankan Moral sahaja yang layak.
Dr Syed Iskandar pula mendedahkan bahawa banyak produk-produk dalam perbankan Islam pada masa sekarang hanyalah ‘copy and paste’ daripada system konvensional. Yang ditukar hanyalah pada istilah yang di Arabkan.
Itulah antara contoh-contoh yang telah dikemukakan. Sebenarnya banyak lagi perkara-perkara yang didedahkan.
Peserta dan pembentang kertas kerja mengambil gambar kenangan sebelum makan malam.
Menurut penceramah lagi, ada sesetengah produk perbankan Islam yang diamalkan, sebenarnya telah difatwakan haram oleh satu majlis peringkat antarabangsa. Tetapi, oleh sebab banyak keuntungan yang boleh dijana dari produk tersebut, pihak bank Negara boleh mengatakan perkara tersebut (fatwa yang diputuskan) tidak menjejaskan Malaysia. Terasa besarnya kepala pihak bank Negara dalam isu ini.
Menurut penceramah, punca sebenar berlakunya system perbankan Islam yang tak Islamik ini adalah disebabkan oleh beberapa individu tertentu yang mempunyai pangkat tertinggi dalam Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia tidak mempunyai integriti.
Mereka berpegang kepada sedikit riba yang diamalkan adalah dibolehkan dengan alasan darurat. Menurut penceramah, hal ini tidak boleh dikatakan sebagai darurat kerana system ini telah berjalan sejak 1983 lagi, dan darurat adalah untuk survive antara hidup dan mati, bukan untuk mencari keuntungan yang lebih.
Malah, menurut penceramah lagi, banyak bukti-bukti telah menunjukkan bahawa inividu penting dalam Panel Penasihat Syariah Bank Negara mempunyai kepentingan-kepentingan peribadi. Mereka menubuhkan syarikat sendiri, kemudian mereka sendiri menandatangani kontrak dengan mewakili Bank Negara Malaysia, atas nama Penasihat Syariah. Malah individu ini mempunyai rangkaian pengikut dan penyokongnya yang tersendiri menyebabkan begitu sukar untuk individu didakwa.
Malah individu ini sendiri yang telah mendedahkan bahawa penasihat syariah boleh memperoleh sebanyak USD 3,000-USD 4,000 sejam dan pendapatan melebihi USD 1 juta dalam satu temuramah beliau dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.
Sebenarnya ada lagi orang-orang penting yang telah penceramah dedahkan tentang penyelewengan yang telah dilakukan.
Individu-individu inilah yang sebenarnya lebih jahat daripada Yahudi, kerana Yahudi hanya menganiaya bangsa bukan Yahudi. Tetapi manusia-manusia yang telah didedahkan sebenarnya tidak amanah dalam menjaga kesucian Islam, malah menggunakan Islam untuk menganiaya umat Islam sendiri.
Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah atau dijauhkan Allah dari terus merosakkan amanah.
Hasil dari seminar ini, apa yang dapat aku simpulkan ialah,
1. Perbankan Islam di Malaysia masih jauh untuk mencapai 100 peratus Islamik, kerana Penasihat Syariah Bank Negara masih diketuai oleh golongan yang melihat wang lebih dari mendaulatkan agama.
2. Perlu ada satu badan bertindak atau NGO yang menjadi check and balance untuk menyuarakan suara pengguna bank-bank Islam dalam memastikan ketidak puasan hati dan mengkaji keputusan penasihat syariah bank Negara.
3. Masih ada bank-bank yang ikhlas dan bertanggungjawab dalam menjalankan system perbankan Islam dengan panel penasihat syariah yang boleh dipercayai.
4. Dinar emas adalah “medium of exchange” yang terbaik dalam system kewangan.
Penulis menerima sijil penyertaan dari Prof Dr Mahmood Sanusi
Walaubagaimana pun, pelaksanaan dinar emas dan dirham perak sebagai medium of change masih jauh lagi untuk dilaksanakan selepas kali terakhir digunakan sebelum keruntuhan khilafah Islam Othmaniah.
Banyak lagi halangan dan cabaran yang perlu dihadapi untuk mengaplikasikannya. Cabaran terbesar ialah kefahaman umat Islam sendiri dan ancaman Yahudi dan Amerika yang mengamalkan sistem kapitalis. Mereka tidak akan membiarkan umat Islam menguasai kekuatan ekonomi dengan penggunaan dinar emas ini yang dalam masa yang sama akan menghancurkan sistem ekonomi yang dikuasai mereka hari ini.
Wallahualam. Semoga perkongsian ini dapat sedikit sebanyak membuka mata kita melihat perkara sebenar yang berlaku dalam memperjuangkan Islam yang sebenar.
Semoga pejuang-pejuang Islam dari semua sudut, sama ada ekonomi, politik, social, pendidikan dan sebagainya diberi kekuatan dan mendapat bantuan Allah dalam menegakkan kebenaran.
P/S: Terima kasih tak terhingga kepada Dr syed Iskandar yang memberi peluang kepada kami untuk mengikuti seminar ini secara percuma. Kami menjadi AJK merangkap peserta, di mana peserta sepatutnya membayar ribuan ringgit.
ASEAN bentuk pasaran bersepadu mulai tahun depan
10 years ago
1 comments:
salam, buleh pun komen. ni sama program dengan afzan ke? hurm, semakin kacak nampak tuan ni. keh3.
Post a Comment