CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday 23 August 2009

Selamat Tinggal USM, Selamat Datang Ramadhan

Majlis Konvokesyen telah pun berlalu. Kini statusku sebagai mahasiswa telah luput tarikhnya. Dunia kampus telah ditinggalkan. Sebarang kemudahan yang dulu boleh kudapati semasa bergelar mahasiswa, kini terputus. Jika dulu aku sakit-sakit, klinik panel boleh dijadikan destinasi mendapatkan ubat percuma (ditanggung USM sebenarnya). Tambahan pula rumah aku di Parit Buntar. Memang terdapatnya Klinik Panel USM di Parit Buntar. Jika dulu, dengan senang hati boleh mendapatkan meminjam buku di Perpustakaan USM tanpa memikirkan tentang wang, setelah bergelar graduan, yuran ahli sahaja perlu difikirkan kerana bukan sedikit iaitu sebanyak RM 400.


Terima Kasih NC

Namun, begitulah kehidupan. Hidup perlu diteruskan. Sedikit kemudahan yang hilang tak bermakna kita perlu berhenti dan hanya meratapi sesuatu kehilangan. Hidup perlu diteruskan dengan perancangan masa depan yang lebih bermatlamat. Jika ada yang merancang untuk menyambung pengajian ke Ijazah Sarjana, silakan. Jika ada yang ingin terus ke alam pekerjaan, silakan. Dan jika ada sesiapa yang terus ingin menjadi suri rumah tangga bagi perempuan yang telah berkahwin, tak perlu dihalang. Janji hidup bermatlamat.

Mungkin sedikit peringatan kepada sahabat yang masih dalam tempoh kenikmatan sebagai mahasiswa. Gunakan peluang sebaik mungkin dengan segala kemudahan yang ada. Jika ada masalah kesihatan, jangan malu-malu untuk dapatkan rawatan dan ubatan. Di klinik panel anda boleh dapatkan secara percuma. Begitu juga dengan pemeriksaan gigi. Jalanilah proses mencuci gigi walaupun anda rasa gigi anda tiada masalah. Kerana ianya percuma. Jika di luar boleh jadi mencecah RM 50 untuk mencuci gigi.

Tetapi, paling penting, gunakan peluang yang ada untuk menimba sebanyak mungkin ilmu di pusat pendidikan yang dinamakan universiti sama ada ilmu yang dikutip dalam kuliah dan ilmu di luar kuliah. Kedua-duanya tak boleh dikesampingkan. Kedua-duanya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Konvokesyen hanya sekali!!


Konvokesyen hanya sekali dan ia pasti tiba. Sama ada anda puas atau tidak sepanjang berada di universiti, harinya pasti tiba melainkan anda di’sepak’ keluar akibat ketidak seimbangan akademik.

Jika dilihat pada wajah-wajah ceria para graduan pada hari konvokesyen, sebenarnya pelbagai perasaan yang berperang dalam hati mereka. Jika yang masih belum mendapat pekerjaan, pasti jiwa mereka runsing dengan langkahan seterusnya. Jika hati masih mereka masih ada secubit minat untuk belajar dan layak untuk ke Ijazah Lanjutan, mereka akan meneruskan pengajian.

Pergolakan dalaman lebih parah buat yang sudah serik untuk belajar tetapi masih belum mendapat peluang pekerjaan. Jiwa akan sentiasa resah selagi diri masih tidak bebas dari gelaran penganggur terhormat, dan sekadar membuat bisnes menanam tebu di bibir.
Dan sebenarnya, ramai juga para graduan yang merasai kerugian kerana melepaskan peluang keemasan untuk menuntut ilmu di universiti khususnya di USM. Ini kerana mereka hanya sibuk bermain game, terlalu asyik bercinta dan ada jugak yang terlalu asyik berprogram sehingga meminggirkan akademik.

Tetapi bagiku, walaupun insyaAllah sudah terjamin sebagai seorang bakal guru, tetapi tetap ada sekelumit perasaan yang mengganggu jiwa gembira. Resah aku memikirkan tentang perkembangan sahabat-sahabat seperjuangan persatuan. Aku lihat jumlah pendokongnya seolah-olah semakin sedikit. Aku rasakan ukhuwwah anggotanya makin menipis. Aku dapati beban yang ditanggung semakin besar dalam era Universiti Apex ini. Walaupun saat kali pertama aku menyertai mereka hampir sama dengan situasi aku keluar darinya, tetapi perbezaannya tetap ada. Pelbagai perasaan dan fikiran yang bermain-main di minda ku.


murid-murid, beratur elok-elok na!!

Apa-apa pun aku bersyukur kepada Allah kerana akhirnya dapat juga aku berkonvokesyen ‘on time’. Sebenarnya, aku sendiri amat tertekan sama ada aku mampu atau tidak untuk lepas KSCP tempoh hari. Malahan, aku sudah pun membuat ‘backup plan’ andai aku ter’extend’. Tetapi, atas keazaman dan keyakinan, sokongan padu dan nasihat berguna mak ayah, bantuan kawan-kawan yang sama-sama berjuang dalam KSCP (Afzan – memberikan tempat ‘merempat’, Bismi – Peneman di kala ‘study’ dan sepi, juga Abdullah – sahabat yang menyediakan bilik untuk ‘study’, dan juga sahabat-sahabat lain yang tak tersebut di sini yang memberikan sokongan moral dengan ucapan-ucapan semangat dan lain-lain. Dan paling penting, atas izin Allah, aku berjaya lulus.

Aku sengaja datang awal dan pulang lewat untuk konvokesyen ini. Bukan kerana aku teruja untuk berkonvo. Tetapi, kerana sekadar menggunakan peluang dan ruang waktu untuk bersama rakan-rakan dan teman-teman. Alhamdulillah, hasrat aku tercapai, walaupun ada teman-teman yang hanya sedikit waktu kita dapat bersama. Sesungguhnya sahabat-sahabatku, kalian lah sebahagian besar yang mewarnai kehidupanku sepanjang berada dalam bumi tarbiyah ini. Tanpa kalian, mungkin warna hidupku suram. Dengan kehadiran kalian, terasa begitu indah destinasi persinggahan dalam kembara menuju kehidupan abadi nanti.

InsyaAllah, andai ada rezeki, ingin aku membawa ‘bekalan’ sebagai peneman hidup dalam menghadapi masa depan yang penuh cabaran kelak.

Universiti Ramadhan

Setelah sah ku meninggalkan USM. Kini tiba pula Universiti Ramadhan. Kedua-dua ‘Universiti’ ini banyak persamaan dan banyak juga perbezaannya. Universiti Ramadhan merupakan anugerah Allah yang semua layak memasukinya tanpa pendaftaran. Malah di Universiti Ramadhan ‘elaun’ yang Allah tawarkan berganda-ganda berbanding bulan-bulan lain. Semakin banyak ‘kerja’ ibadah yang kita lakukan, maka semakin banyaklah elaun yang Allah berikan.


Aku dan muslimat-muslimat yang bujang. Yang dah kawen tak dibenarkan!!

Peluang dan kemudahan yang Allah sediakan dalam Universiti Ramadhan juga begitu istimewa. Allah menawarkan solat tarawikh khusus untuk hambanya dalam ‘universiti’ ini. Allah menyediakan pendidikan melawan hawa nafsu. Malah Allah memberikan kemudahan dengan membelenggu syaitan-syaitan yang selama ini menghasut manusia. Cabaran yang tinggal untuk mencapai kecemerlangan di ‘universiti’ ini ialah hawa nafsu dan manusia syaitan.

Sepatutnya kita menggunakan peluang ini untuk meningkatkan amal ibadah kita. Perbanyakkan baca Al-Quran. Banyakkan juga solat-solat sunat, tak tinggal solat tarawikh dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Begitu juga dengan ibadah umum. Malahan, hadiah paling istimewa yang Allah sediakan dalam universiti ini ialah Malam Lailatulqadar. Malam ini amat istimewa kerana ganjaran amal ibadahnya lebioh baik dari seribu bulan. Cuma malam ni berlaku dengan penuh kerahsiaan. Promosi yang dijalankan juga hanyalah promosi tanpa tarikh dan masa. Hanya hamba Allah yang penuh sabar mengejarnya sahaja yang akan mendapat anugerah Allah ini.


Ok semua, tengok ARENAR...

Jangan terbit rasa menyesal dan tidak puas apabila hari ‘konvokesyen’ tiba pada 1 Syawal nanti. Menyesal kerana mensia-siakan tempoh masa barada dalam universiti Ramadhan. Kerana Allah menjadikan tempoh tarbiyah ini untuk memberikan ‘elaun’ dan menghapuskan dosa-dosa kita sebelum tiba tarikh luput sebagai seorang manusia.

Oleh itu, sama-sama kita menggunakan peluang Ramdahan kali ini dengan sebaiknya andai kita pernah merasakan kerugian dalam Ramdhan-ramadhan yang lalu. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih baik dan menjadikan kita graduan universiti Ramadhan yang bersih dan suci dari dosa-dosa.

P/s: banyak lagi gambar sebenarnya. Tapi belum ambil dari kamera kawan-kawan. Apa nak buat, kamera sendiri tiba-tiba tak boleh guna pada hari konvo. Terpaksa la menumpang kat kamera orang..Terima kasih kepada pemberi kebenaran gambarku masuk ke kamera kalian..

Tuesday 18 August 2009

Pesta Konvokesyen Berlalu Lagi!!!

Sebelum kemasukanku ke USM, tak pernah aku tahu apa yang dinamakan sebagai Konvokesyen atau nama singkatnya Konvo. Sekadar pernah mendengar namanya dari ayahku yang telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UTM semasa aku darjah 4 iaitu pada tahun 1996. Itupun ayah aku tidak pergi ke majlis konvokesyennya.

Apabila aku menjejakkan kaki di bumi Minden ini, baru aku dapat mengikuti dengan lebih dekat pesta ini. Malah, aku sentiasa ternanti-nanti ketibaan pesta ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan kejayaan senior-senior dan juga memeriahkan ekspo yang menambah seri pesta ini.

Tahun Pertama di USM
Pada tahun pertama aku di USM, aku bersama-sama rakan-rakan baik yang sekursus dengan aku, iaitu Aizudden dan Hilmi telah mencuba nasib untuk menjadi AJK CONVEX tahun 2005. Kami sepakat menghadiri temuduga yang dijalankan dan Alhamdulillah memang kami terpilih malahan dalam satu jawatankuasa yang sama iaitu AJK Keselamatan.

Keterlibatan aku sebagai AJK CONVEX pada ketika itu merupakan aktiviti pertama aku sebagai mahasiswa USM, selepas beberapa minggu sahaja tamatnya minggu orientasi yang dilalui. Pengalaman pertama aku dan kawan-kawan yang lain sebagai AJK Keselamatan tak dapat aku nyatakan sama ada seronok atau pun tidak. Bosan kerana tugas kami hanyalah perlu memastikan keselamatan di tapak ekspo jualan. Tugas kami hanyalah bersiar-siar di tapak konvo yang insyaAllah selamat.

Aku pun tertanya-tanya jugak dulu ancaman utama terhadap keselamatan ekspo tersebut, dan masih aku ingat ada orang atasan yang menyatakan ancamannya ialah sabotaj. “Jaga-jaga kalau nampak geng-geng PMI, kot-kot nanti diorang potong wayar ke apa” katanya apabila ternampak satu kumpulan bermotosikal yang baru sampai di tapak ekspo tersebut. Dalam kumpulan tersebut, antara ahli-ahlinya yang aku ingat ialah abang Husni, Zul Saudi, Fazril dan ramai lagi yang aku tak perasan. (Masa tu mana kenal lagi dengan geng-geng ni. Aku rasa depa ni rombongan dari RS).

Tergelak jugak aku bila terkenang kembali kisah tersebut, apabila tak lama selepas itu, aku pulak yang join geng-geng tu.

Balik kepada AJK CONVEX, antara tugas kami ialah sentry. Kami perlu berjaga-jaga pada waktu malam. Maka, bergilir-gilirlah kami bersengkang mata dan merayau-rayau di tapak konvo yang lengang tatkala hampir semua peniaga melepaskan penat berniaga tanpa henti dari pagi sampai tengah malam. Kami perlu berwaspada kalau-kalau ada pencuri yang mengambil kesempatan menceroboh gerai. Fuh, memang bosan tugas kami. Ini yang membuatkan Hilmi sering mengeluh dan serik untuk menjadi AJK CONVEX. Bagaimanapun, aku rasakan pengalaman tersebut memberi makna yang besar sabagai satu proses pembelajaran dan kembara ilmu ku di USM.

Pada tahun kedua dan ketiga, aku tidak lagi menyertai CONVEX, tapi hati aku sentiasa tertarik-tarik untuk ke tapak Konvo. Aku rasakan, saat inilah peluang aku untuk jumpa senior-senior yang ku kenal untuk mengucapkan tahniah dan bertanya khabar setelah lama tak jumpa. Selain itu, aku juga rasa terpanggil untuk melihat dan membantu kawan-kawan yang berniaga juga mencuba makanan yang dijual dan berborak-borak dengan mereka, sama ada di gerai silat cekak, gerai Persatuan ilmu pendidikan atau gerai-gerai lain yang ada melibatkan kenalanku yang berniaga terutama di ARENAR, (kerana di situ kita bertemu). Memang pada minggu konvo, hampir setiap waktu makan aku, ialah di gerai-gerai konvo.


Pada tahun keempat aku di USM, Majlis Konvokesyen ke 39 yang berlangsung aku tidak sempat untuk ikuti sehingga selesai kerana perlu mengikuti perkhemahan yang diwajibkan kepada pelajar yang mengambil kursus PGT433, Pengurusan KoKurikulum. Maka, tak sempatlah aku untuk bertemu dengan abang-abang dan kakak-kakak Sains dengan Pendidikan yang sidang konvo mereka berlangsung ketika aku di tapak perkhemahan.

Setahun kurasakan sangat cepat. Majlis Konvokesyen kali ke 40 telah dirasmikan. Cumanya konvo kali ini cukup berbeza dengan pesta konvo yang sempat aku ikuti sebelum-sebelum ini. Kerana konvo tahun ini, aku pula yang akan dianugerahkan ijazah. Aku telah dijadualkan untuk menerima ijazah pada sidang ke 6, pada hari Jumaat, 14 Ogos 2009.

Majlis Konvokesyen kali ini juga berlangsung dalam keadaan kurang selesa kerana kebimbangan terhadap penularan Influenza A H1N1. Taklimat Raptai konvo pun memang begitu menekankan aspek kesihatan.

Memang kebimbangan masyarakat kampus terhadap pendamik ini begitu ketara. Aku dapat merasakan, kemeriahan pesta kali ini agak berkurangan berbanding yang lepas-lepas. Kedengaran juga bunyi-bunyi rungutan daripada peniaga-peniaga yang mengatakan hasil jualan merosot berbanding tahun lepas. Tak terkecuali ARENAR SHOP. Sempat juga hampir seminggu aku bekerja di situ, dan memang aku dapat rasakan berlaku pengurangan hasil jualan berbanding minggu konvokesyen sebelum-sebelum ni.

Apa-apa hal pun, mudah-mudahan konvo kali ini memberikan erti yang besar dalam hidupku dan graduan-graduan lain. Supaya semuanya bertambah maju dalam kehidupan dan yang paling penting dapat berubah menjadi insan yang lebih baik dan bertambah ketakwaan kepada Allah.