CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday 29 October 2009

Hadiah Hari Jadi yang penuh makna!!

Pada 27 Oktober tahun lalu, jatuh pada hari Deepavali. Sahabat-sahabatku yang bertuah ada yang mendapat pengumuman cuti umum bagi birthday aku pada 27 Oktober 2008. (aku pun dah lupa sebenarnya aku buat ni, ada yang mengingatkanku kembali peristiwa tahun lalu).

Tapi pada tahun ini, 27 Oktober yang ku lalui sangat bermakna dalam hidupku. Aku secara rasminya telah mendaftarkan diriku sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk Buntar, Kedah iaitu pada usiaku genap 23 tahun.

Aku anggap pendaftaranku di sekolah ini sebagai satu hadiah hari jadi buat diriku. Pada persepsi awalku, sekolah ini merupakan tempat kerja yang kondusif. Sekolah yang terletak di kawasan kampong yang tenang ini juga mewujudkan suasana yang agak tenang di sekolah.

Sekolah ini taklah sebesar mana. Jumlah gurunya tak sampai 50 orang. Semuanya Melayu. Pelajarnya pula tak sampai 600 orang. Bilangan pelajar bukan Melayunya tak sampai 10 peratus.

Sosio ekonomi kebanyakan keluarga pelajar di sini ialah kerja kampong, sama ada di kebun atau di ladang kelapa sawit dan getah. Ia memang menggambarkan suasana kehidupan kampong penduduk-penduduk di sini.

Kawasan Lubuk Buntar agak jauh dari bandar. Bandar yang terhampir adalah Parit Buntar di Perak.

Tetapi, sedikit yang mengejutkan aku ialah fesyen rambut pelajar lelaki di sini. Hampir semua pelajar di sini mempunyai fesyen rambut yang kurang sesuai sebagai pelajar sekolah. Fesyen rambut pacak-pacak memang menjadi trend di sini, seolah-olah tiada halangan dari mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur ditempatkan di sekolah ini kerana sekolah ini tidak mempunyai masalah disiplin yang keterlaluan. Masalah paling besar hanyalah merokok dan mencuri. Tiada pergaduhan atau jenayah-jenayah yang boleh merunsingkan guru-guru dan pentadbiran.

Dengan penempatan aku di sini, aku tidak perlu lagi mencari rumah sewa. Aku mampu berulang dari rumahku. Perjalanan dari rumahku hanya mengambil masa 20 minit. Jaraknya hanya 17km sahaja. Lebih kurang perjalananku dari rumahku ke sekolah tempat aku praktikal dahulu.

Apa-apa pun, semoga Allah membantuku dalam menjadi seorang pendidik yang cemerlang di sini.

0 comments: