CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday 18 August 2009

Pesta Konvokesyen Berlalu Lagi!!!

Sebelum kemasukanku ke USM, tak pernah aku tahu apa yang dinamakan sebagai Konvokesyen atau nama singkatnya Konvo. Sekadar pernah mendengar namanya dari ayahku yang telah menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UTM semasa aku darjah 4 iaitu pada tahun 1996. Itupun ayah aku tidak pergi ke majlis konvokesyennya.

Apabila aku menjejakkan kaki di bumi Minden ini, baru aku dapat mengikuti dengan lebih dekat pesta ini. Malah, aku sentiasa ternanti-nanti ketibaan pesta ini untuk sama-sama memeriahkan sambutan kejayaan senior-senior dan juga memeriahkan ekspo yang menambah seri pesta ini.

Tahun Pertama di USM
Pada tahun pertama aku di USM, aku bersama-sama rakan-rakan baik yang sekursus dengan aku, iaitu Aizudden dan Hilmi telah mencuba nasib untuk menjadi AJK CONVEX tahun 2005. Kami sepakat menghadiri temuduga yang dijalankan dan Alhamdulillah memang kami terpilih malahan dalam satu jawatankuasa yang sama iaitu AJK Keselamatan.

Keterlibatan aku sebagai AJK CONVEX pada ketika itu merupakan aktiviti pertama aku sebagai mahasiswa USM, selepas beberapa minggu sahaja tamatnya minggu orientasi yang dilalui. Pengalaman pertama aku dan kawan-kawan yang lain sebagai AJK Keselamatan tak dapat aku nyatakan sama ada seronok atau pun tidak. Bosan kerana tugas kami hanyalah perlu memastikan keselamatan di tapak ekspo jualan. Tugas kami hanyalah bersiar-siar di tapak konvo yang insyaAllah selamat.

Aku pun tertanya-tanya jugak dulu ancaman utama terhadap keselamatan ekspo tersebut, dan masih aku ingat ada orang atasan yang menyatakan ancamannya ialah sabotaj. “Jaga-jaga kalau nampak geng-geng PMI, kot-kot nanti diorang potong wayar ke apa” katanya apabila ternampak satu kumpulan bermotosikal yang baru sampai di tapak ekspo tersebut. Dalam kumpulan tersebut, antara ahli-ahlinya yang aku ingat ialah abang Husni, Zul Saudi, Fazril dan ramai lagi yang aku tak perasan. (Masa tu mana kenal lagi dengan geng-geng ni. Aku rasa depa ni rombongan dari RS).

Tergelak jugak aku bila terkenang kembali kisah tersebut, apabila tak lama selepas itu, aku pulak yang join geng-geng tu.

Balik kepada AJK CONVEX, antara tugas kami ialah sentry. Kami perlu berjaga-jaga pada waktu malam. Maka, bergilir-gilirlah kami bersengkang mata dan merayau-rayau di tapak konvo yang lengang tatkala hampir semua peniaga melepaskan penat berniaga tanpa henti dari pagi sampai tengah malam. Kami perlu berwaspada kalau-kalau ada pencuri yang mengambil kesempatan menceroboh gerai. Fuh, memang bosan tugas kami. Ini yang membuatkan Hilmi sering mengeluh dan serik untuk menjadi AJK CONVEX. Bagaimanapun, aku rasakan pengalaman tersebut memberi makna yang besar sabagai satu proses pembelajaran dan kembara ilmu ku di USM.

Pada tahun kedua dan ketiga, aku tidak lagi menyertai CONVEX, tapi hati aku sentiasa tertarik-tarik untuk ke tapak Konvo. Aku rasakan, saat inilah peluang aku untuk jumpa senior-senior yang ku kenal untuk mengucapkan tahniah dan bertanya khabar setelah lama tak jumpa. Selain itu, aku juga rasa terpanggil untuk melihat dan membantu kawan-kawan yang berniaga juga mencuba makanan yang dijual dan berborak-borak dengan mereka, sama ada di gerai silat cekak, gerai Persatuan ilmu pendidikan atau gerai-gerai lain yang ada melibatkan kenalanku yang berniaga terutama di ARENAR, (kerana di situ kita bertemu). Memang pada minggu konvo, hampir setiap waktu makan aku, ialah di gerai-gerai konvo.


Pada tahun keempat aku di USM, Majlis Konvokesyen ke 39 yang berlangsung aku tidak sempat untuk ikuti sehingga selesai kerana perlu mengikuti perkhemahan yang diwajibkan kepada pelajar yang mengambil kursus PGT433, Pengurusan KoKurikulum. Maka, tak sempatlah aku untuk bertemu dengan abang-abang dan kakak-kakak Sains dengan Pendidikan yang sidang konvo mereka berlangsung ketika aku di tapak perkhemahan.

Setahun kurasakan sangat cepat. Majlis Konvokesyen kali ke 40 telah dirasmikan. Cumanya konvo kali ini cukup berbeza dengan pesta konvo yang sempat aku ikuti sebelum-sebelum ini. Kerana konvo tahun ini, aku pula yang akan dianugerahkan ijazah. Aku telah dijadualkan untuk menerima ijazah pada sidang ke 6, pada hari Jumaat, 14 Ogos 2009.

Majlis Konvokesyen kali ini juga berlangsung dalam keadaan kurang selesa kerana kebimbangan terhadap penularan Influenza A H1N1. Taklimat Raptai konvo pun memang begitu menekankan aspek kesihatan.

Memang kebimbangan masyarakat kampus terhadap pendamik ini begitu ketara. Aku dapat merasakan, kemeriahan pesta kali ini agak berkurangan berbanding yang lepas-lepas. Kedengaran juga bunyi-bunyi rungutan daripada peniaga-peniaga yang mengatakan hasil jualan merosot berbanding tahun lepas. Tak terkecuali ARENAR SHOP. Sempat juga hampir seminggu aku bekerja di situ, dan memang aku dapat rasakan berlaku pengurangan hasil jualan berbanding minggu konvokesyen sebelum-sebelum ni.

Apa-apa hal pun, mudah-mudahan konvo kali ini memberikan erti yang besar dalam hidupku dan graduan-graduan lain. Supaya semuanya bertambah maju dalam kehidupan dan yang paling penting dapat berubah menjadi insan yang lebih baik dan bertambah ketakwaan kepada Allah.

0 comments: