CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday 19 June 2009

Kembara ke Pahang

Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Al-Ankabut : Ayat 20

Semasa kesibukan pecutan terakhir menjelang peperiksaan KSCP baru-baru ini, Abdullah mengajak aku menghadiri walimah Shaikh Hizami dengan Kak Radieah di Pahang pada 13 Jun 2009. Berbagai alasan yang kuberikan kerana hatiku merasa berat untuk ke sana.

Jarak yang memisahkan Pulau Pinang dan Maran pulak, bukanlah dekat. Lebih dari 600km. Tambah-tambah pulak waktu itu, memang aku merasakan peluang untuk ‘lepas’ KSCP agak sukar.

Hatiku pulak masa tu lebih teruja untuk ke Kelantan, kerana di Kelantan, ada dua kenduri sahabat yang sedang menanti. Pemergian ke Kelantan lebih berbaloi dari ke Pahang fikirku.



Terima kasih sahabat atas kembara ini..

Pelbagai syarat yang aku kenakan kepada Abdullah (dan kepada diriku yang berbelah bahagi) jika tetap ingin mengajak aku bersama-sama pergi ke Pahang.

Pertama, ahli rombongan perlu cukup 4 orang. Kedua, aku mesti dapat menjawab exam KSCP dengan baik. Dan ketiga, umi ku memberi lampu hijau.

Tak disangka pula, keesokan harinya (iaitu sehari sebelum exam aku,10 Jun 09) Abdullah menelefon memaklumkan bahawa ahli yang bersetuju telah cukup 4. Abdullah, aku, Mior Azmi dan Abang Asyrul.

Terharu sungguh aku dengan kesungguhan Abdullah.. Siap dengan perancangan untuk pengangkutan lagi.

Tapi, apa-apa pun keputusannya, tetap di tangan aku. Kalau aku dapat jawab exam KSCP dengan baik, maka jadilah program ni. Jika tidak, sebaliknya akan berlaku.

Keesokan harinya, Alhamdulillah. Atas usaha aku dan keizinan Allah, aku dapat jawab dengan baik peperiksaan bagi Kursus ZCT 210 kali ini. Aku dapat rasakan lambaian hari konvokesyen Ogos nanti. Paling lega masalah kewangan yang akan ku hadapi semester depan (jika gagal exam ini) tidak perlu lagi aku fikirkan.

Maka, secara automatik, ada peruntukan kewangan untuk perjalanan aku ke Pahang nanti. Memang aku turut rasa ghairah untuk ke Pahang setelah yakin aku untuk ‘lepas’ KSCP ini.

Percutian ke Pahang ku anggap sebagai hadiah buat diriku.


Salah satu tempat menarik yang dilawati..

Kembara bermula

Kembara aku kali ini dirancang keseluruhannya selama 4 hari 4 malam. Dengan 3 hari 2 malam di Pahang.
Khamis 11.59 tengah malam, itulah jadual perjalanan bas Transnasioanl yang bakal aku naik. Namun kembaraku malam itu bermula jam 12.10 tengah malam hari Jumaat kerana bas mula bergerak meninggalkan Hentian Raya Parit Buntar lewat 10 minit dari jadual.

Sepanjang perjalanan, aku hanya mampu tidur-tidur ayam.

Tepat jam 3.40 pagi, aku minta izin diturunkan di Plaza Tol Jalan Duta, setelah permintaan pertamaku untuk turun di Restoran Jejantas ditolak. Permintaanku kali ini dibenarkan.

Tak lama kemudian Abdullah datang menjemputku, dan terus ke rumahnya di Sg Buloh. Setibanya di sana, ku dapati Mior sedang melayari bahtera mimpi di bilik Abdullah.
Aku pun turut serta bersama Mior kemudiannya.


Hari Pertama

Setelah selesai bersiap-siap dan solat Subuh pagi tu, kami bersama-sama menyentap sarapan pagi yang telah disediakan oleh emak Abdullah. Asyrul yang sampai sebelum tu, turut serta.

Lebih kurang pukul 8 pagi kami pun bertolak ke Pahang, menaiki kereta Asyrul.


Destinasi Pertama


Posing kat Taman Herba Jepun

Destinasi Pertama yang dituju ialah Bukit Tinggi. Lawatan ke Bukit Tinggi sebenarnya tak terdapat dalam perancangan program. Oleh sebab semangat yang membara untuk mengetahui keistimewaan tempat ini, kami pun terus mencapai kata sepakat untuk terus ke atas Bukit Tinggi atau Berjaya Hill (bukit inimilik syarikat Berjaya Holding) walaupun jalannya agak cerun dan agak lengang.

Setibanya di atas, kami ke Taman Arnab, tetapi sekadar singgah. Kemudian, perjalanan diteruskan ke Taman Herba Jepun. Tempat ini agak cantik dan sungguh menenangkan.

Agak mengejutkan apabila aku telah bertemu dengan sahabat sekelas ketika di Al Mashoor dulu. Walaupun rumahnya dekat saja dengan USM, tetapi di sini juga yang Allah takdirkan kami bertemu semula setelah lebih 6 tahun terputus hubungan.



Setelah puas berjalan di sini, perjalanan diteruskan, kali ini ke satu tempat yang direka bentuk ala Perancis. Fuh, tempat ini memang mengujakan. Ketika berada di sini, aku merasakan seolah-seolah seperti benar-benar di Eropah. Ditambah pula dengan cuacanya yang mendinginkan.

Tak di sangka pula, tempat yang agak jauh begini, ramai pelancong yang mengunjungi tempat ini. Apabila sudah puas berganbar dan menkmati keindahan tempat ini, manakala matahari pula dah tegak di atas kepala, kami meneruskan lagi perjalanan kami.

Kami meninggalkan Bukit Tinggi dengan rasa puas. Tetapi bagiku, lawatan ke tempat ini hanya berbaloi jika dibawa bersama kamera untuk mengabadikan kenangan. Jika tidak, anda akan rasa rugi kerana RM 10 dikenakan setiap orang untuk memasuki kawasan Berjaya Hill ini.


Gambar kenangan di bangunan ala-Eropah.


Perjalanan diteruskan ke destinasi yang dirancang, iaitu Pusat Konservasi Gajah yang terletak di Lanchang.

Bermesra dengan gajah merupakan pengalaman baru dalam hidupku. Begitu juga dengan sahabat-sahabat ku yang lain. Di sini, pengunjung berpeluang memberi makan kepada gajah, mandi bersama gajah,dan menunggang gajah.


Asyrul sedang menyuap makanan ke mulut gajah..

Tetapi, malangnya, kami hanya diberi kebenaran untuk memberi makan kepada gajah dan melihat gajah dimandikan, kerana pakej untuk menunggang gajah telah habis. Manakala, mandi bersama gajah pula tidak dapat dijalankan kerana air sungai tinggi pada hari tersebut.

Teruja juga aku melihat gajah-gajah liar yang mampu dijinakkan di sini. Gajah –gajah ini kelihatan bijak kerana seolah-olah boleh memahami bahasa pelatihnya.

Sahabat-sahabat, jika berpeluang datanglah ke sini. Masuk percuma. Terima Kasih diucapkan kepada Jabatan Perhilitan.

Perjalanan diteruskan dengan menghala ke arah Maran. Kami terus sahaja ke chalet yang telah ditempah beberapa hari sebelumnya. Chalet kepunyaan Majlis Daerah Maran ini ditempah untuk penginapan kami satu malam sahaja. Harganya RM 70.

Setibanya di sini, kami pun memasukkan barang-barang dan bersiap-siap untuk mandi di kawasan air terjun di Hutan Lipur Teladas (mungkin gabungan Telaga+Tandas = Teladas,kata Mior).

Setibanya di sana, memang mengecewakan. Abdullah yang paling beria-ia mengajak mandi air terjun petang itu paling kempunan. Kawasannya tak terurus, kemudahan infrastuktur terabai, paling teruk airnya dicemari dengan keladak-keladak (mungkin akibat dari pembalakan di kawasan atas). Memang tak lalu nak mandi di sini.

Sayangnya, apabila ramai manusia yang hanya mementingkan perut masing-masing sahaja tanpa mempedulikan hak-hak alam.

Akhirnya, kami pulang dan mandi di chalet sahaja.

Malamnya, tiada aktiviti yang dirancang selain solat di masjid dan makan malam.


Bergambar kenangan di depa chalet sblm check out..

Hari Kedua di Pahang

Pada pagi itu, tiada agenda yang dirancang. Tetapi, kami telah sepakat untuk bersiar-siar di kawasan chalet dengan berjalan kaki dan seterusnya singgah ke kedai untuk pekena roti canai. Sebenarnya, sebelum berjalan-jalan kami telah pun bersarapan di dalam chalet. Kami sempat menjamah roti dan tuna yang kami telah beli semalam sebagai bekalan untuk hari ini.

Apabila tiba waktu Zohor, kami telah bersiap-siap mengemas semua barang dan seterusnya ‘check out’ dari chalet.

Usai saja solat berjemaah jama’ Zohor Asar, terus kami menuju ke destinasi paling penting dalam kenbara kami ke rumah pengantin, Shaikh Hizami dan Radieah.
Rumah pengantin tak sampai 3 km dari chalet tempat kami menginap.

Setibanya di rumah pengantin, pasangan mempelai sedang ‘berposing’ untuk bergambar di atas pelamin. Kami pun tanpa berlengah terus menunggu giliran untuk bergambar bersama.

Kehadiran kami ke kenduri tersebut adalah di luar pengetahuan pengantin. Kami memang merancang untuk membuat kejutan atas kehadiran kami.


Selanat berbahagia Buat Sheikh Hizani dan Radieah

Dan ternyata, memang kedatangan kami mengejutkan Shaikh yang menyatakan ke tak sangkaan kehadiran kami.
Setelah puas makan nasi minyak selera Pahang dan bergambar, kami pun minta diri dan berangkat menuju ke destinasi seterusnya.

Lebih kurang jam 4 petang, kami tiba ke Hutan Lipur Berkelah atau Air Terjun Berkelah. Mengikut perancangan awal, kami akan berkhemah di sini selama satu malam, tetapi bergantung kepada cirri-ciri keselamatan yang di sediakan di tempat tersebut.

Apabila tiba di sana, dan setelah mendapati selamat untuk bermalam di situ, kami sebulat suara membuat keputusan dan memaklumkan kepada Balai Polis Gambang, iaitu balai polis terhampir dengan kawasan tersebut.

Kawasan tersebut tidak langsung mempunyai bekalan elektrik, dan kawasan perkhemahan yang di atas bukit, (hamper dengan air terjun) tidak di sediakan langsung tandas. Pengalaman berkhemah di Serdang sudah mengajar erti ‘jamban korek’.

Sebelum itu, urusan menyimpan kereta dan mendapatkan pengangkutan sangat menyusahkan.Atas sebab keselamatan, kereta perlu ‘diparking’ di tempat yang jauh, hampir 6 km dari kawasan bawah air terjun. Semuanya selesai lebih kurang 6 petang.




Kami perlu segera ke tapak perkhemahan sebelum hari gelap. Setelah beberapa ketika trekking, Pukul 7 baru kami tiba di tapak yang sesuai. Setibanya di sana, terus saja khemah dipasang. Hari yang telah pun gelap, menyebabkan kami tak sempat untuk mencari kayu api sebagai bahan bakar membuat unggun api.

Tetapi kami bernasib baik, kerana khemah kami berdekatan dengan khemah satu kumpulan lain, yang terdiri dari 2 buah keluarga. Kami menumpang cahaya unggun api kumpulan tersebut dan bergantung kepada suluhan lampu suluh yang di bawa sahaja.

Malam itu,kami diuji lagi, hujan yang turun telah menyebabkan kami berempat bersesak di dalam khemah. ( Memang bawa satu khemah ja). Khemah pula yang bocor dan tembus sedikit menggusarkan kami.

Tapi, alhamdulillah, hujan turut hanya seketika, selepas itu kami keluar dari khemah untuk menikmati keindahan langit ciptaan Allah, dengan bintang-bintang yang bertaburan di angkasa. Tak lama kemudian, kami mengembara di alam mimpi.


Hari ke tiga

Keesokan harinya, setelah solat subuh secara berjemaah dan bersarapan, kira-kira jam 7.30 pagi, kami memulakan pengembaraan kami ke tingkat tertinggi air terjun. Semuanya ada 7 tingkat. Kami berkhemah di tingkat dua.



Jungle Trecking kali ini memang berbeza dengan apa yang pernah aku lalui selama ini di Pulau Pinang. Cabarannya jauh lebih mencabar. Kami terpaksa melalui jalan yang sempit. Jalan yang licin dan cerun. Kami perlu memanjat batu, dan melalui pinggir jurang air terjun. Melompat dari batu ke batu.



Sepanjang pendakian, kami sempat mandi di salah satu tempat yang mengujakan kami. Kami juga sempat bergambar di tempat-tempat yang dirasakan menarik.

Setibanya di atas, subhanallah, hati kami teruja. Memang cantik air terjun yang Allah ciptakan. Berada itu sangat menenangkan jiwa.

Sekali lagi kami menjamah makanan yang dibawa dan bermandi-manda kemudiannya.

Hampir 12.30,kami tiba di tapak perkhemahan kami. Alhamdulillah, semuanya selamat tanpa ada kejadian yang tak diingini berlaku. Sungguh puas rasanya apabila dapat menikmati nikmat Allah yang sangat berharga ini. Sehingga tengah hari, ku kira, 6 kali telah ku mandi air terjun. Sehingga kepalaku terasa lain macam kerana airnya sejuk, tetapi sinar mentari begitu terik menerangi.

Kemudian, kami bersiap-siap untuk berangkat pulang. Dan selepas solat berjemaah, kami pun meneruskaan trekking turun ke bawah. Hampir pukul 3, kami tiba.

Setibanya di bawah, kami dapati pengangkutan (lori sapu) kami ke tempat kereta, telah pergi meniggalkan kami. Malang sungguh nasib kami, kerana 6.40 petang, baru kami dapat keluar dari situ.



Berangkat Pulang

Setelah solat dan makan malam. Kami terus berangkat ke Sg Buloh, ke rumah Abdullah. Malam itu, aku dan Mior bermalam di rumah Abdullah, sebelum berangkat pulang keesokan harinya (Isnin, 15 jun) menumpang Asyrul yang akan pulang ke Pulau Pinang.

...................................................................................
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.


Al-Hajj : ayat 46
………………………………………………………………………………………………

1. Alhamdulillah, kembaraku kali ini di permudahkan Allah. Aku telah selamat pergi dan pulang.

2. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah bersungguh-sungguh untuk menjayakan program kali ini, terutama kepada Abdullah, selaku pengarah, Asyrul selaku pemandu dan penyedia pengangkutan. Tak lupa kepada Mior, selaku pelengkap dan penghibur.

3. Terima kasih tak terhingga buat Abg Yusof Ibrahim yang telah memberi sedikit sumbangan kepada kembara ini.

4. Kos pengembaraan ke Pahang dari Sg Buloh (tak termasuk tiket Bas Parit Buntar-KL dan makan secara individu) hanyalah RM 40. Memang berbaloi.

1 comments:

Anonymous said...

Wah best btul pngembaran hmpa sume ke Pahang... Jalan cerite yg menarik... Sronok dbaca... Bleh buat cerite dokumentari ni... X sngka cntik jg air terjun kat pahang ni.. Tringin plak nak pi sana.. Awat x ajak ramai lg org pi sana.. Lg seronok... Nnt buat ler lawatan ke pahang lg skali nohh.. Bleh nnt join skali..

P/s: pndai btul hmpa sume dok posing tngkap gambar kat taman tu.. mcm model.. ada bakat.. tahniah.. hehehe...