CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday 29 November 2009

SETAHUN LALU DI KELANTAN

Rupa-rupanya dah setahun saat itu berlalu. Saat ini, genap setahun rombongan aku ke Kelantan bersama dengan teman-teman. Lebih tepat lagi dari 27-30 November 2008. Ziarah ke Kelantan berlangsung selama 4 hari 4 malam.



Perjalanan yang bagiku begitu puas dan penuh manfaat. Perjalanan yang mengikat ukhuwwah. Kembara yang membuatkan kita lebih mengenali diri sendiri dan sahabat-sahabat.

Terkenang sebelum berlangsungnya journey tersebut, aku memang ketandusan wang. Hidupku selama beberapa minggu hanya bergantung kepada duit syiling yang ku himpun sejak awal semester. Pada awalnya, memang banyak syiling 50sen. Tapi, lama kelamaan, duit 10sen yang aku usung ke kafe untuk membeli makanan.

Alhamdulillah, exam aku habis awal dan aku sempat untuk membuat servis ‘kereta sapu’ selama 4 hari. Dengan keuntungan perkhidmatan aku sebanyak RM200, aku jadikan sebagai bekalan untuk ke Kelantan.

Rombongan ini disertai 10 orang dengan menaiki sebuah van yang dipinjam dari En Chasiman. Ahli-ahli rombongan ialah aku sebagai pemandu utama, Hisyamuddin (pemandu), Ashraf (penunjuk jalan), Afzan, Sufian, Mior Azmi, Abdullah, Hamdi, Hisyam Lee,dan Hasan (adik Aminah).

Terima kasih kepada Ashraf yang telah menjadikan rumahnya sebagai tempat penginapan sepanjang ziarah berlangsung.

Rombongan yang matlamat utamanya untuk menghadiri Majlis Walimah Ghaffar dirancang juga dengan aktiviti-aktiviti sampingan yang berfaedah. Ahli rombongan sempat untuk menziarahi rumah Hisyam Lee, Adi Syahid, dan rumah Bismi.

Selain itu, kami sempat untuk bersiar-siar di KB Mall untuk mencari hadiah untuk pengantin. Kami juga berpeluang mendengar Kuliah Pagi di Jalan Dato Pati oleh Tok Guru MB.

Berpeluang melihat kegarangan ombak di Musim Tengkujuh di Pantai Bachok berdekatan rumah Bismi, dan keganasan hakisan di Pantai Sabak. Kami juga mencuri masa untuk bersiar-siar di tempat-tempat menarik di sekitar Kota Bharu.

Contohnya, Pasar Siti Khadijah untuk membeli-belah apa yang patut, Masjid Muhammadiah terus untuk solat Jumaat, Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Rantau Panjang dan beberapa lagi kawasan menarik.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat bertandang ke rumah Ebby Saifullah yang baru beberapa bulan kehilangan ibu. Dan ketika di Baling sekitar jam 12 tengah malam, kami sempat lagi untuk ke Kolam Air Panas di Ulu Legong. Lebih kurang 1.30 pagi 1 Disember baru kami tiba di Pulau Pinang.

Huh, memang puas dan sangat menyeronokkan dengan aktiviti kembara memenuhkan cuti semester.

Tapi, peristiwa tersebut telah setahun berlalu. Mungkin keseronokan kembara bersama sahabat seperti itu tidak dapat berulang lagi dengan jumlah pesertanya sebegitu ramai.

Pada tahun ini, ada juga jemputan kenduri pada hari ini. Tapi, rombongan sebegitu memang sukar untuk direncanakan kerana kondisi semua orang telah berubah. Apatah lagi untuk dua tiga tahun akan datang.

Thursday 26 November 2009

NASIB MEREKA BERBEZA

Dua reality yang berbeza sempat aku harungi dalam dua bulan ini. Bulan Oktober yang lalu (1 Oct-23 Okt), aku sempat menabur khidmat di Sek Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU)sebagai guru ganti. Kemudian, aku telah dipostingkan di SMK Lubuk Buntar sejak 27 Oktober lalu.

Antara tugasan harian setiap guru di SRIBU ialah mengajar pelajar-pelajar belajar membaca Al Quran. Aku tak terkecuali dari melaksanakan tugas tersebut. Aku ditugaskan mengajar pelajar-pelajar kelas 2 Osman. Rata-rata pelajar di sana membaca Iqra’ 5 dan 6, tetapi ramai juga yang telah membaca Al-Quran dan yang paling cepat telah membaca Juzuk 2. Dan ada dua tiga orang yang tertinggal dengan Iqra’ 3 dan 4. Dalam jangkaanku, InsyaAllah dalam tempoh 3 atau 4 tahun akan datang, mereka mampu untuk khatam Al Quran berdasarkan kemampuan mereka yang aku dapat lihat.



Beberapa minggu yang lalu, aku juga diberi kesempatan untuk membantu Ustaz dan Ustazah di SMK Lubuk Buntar untuk membuat ujian penilaian PAFA kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang telah selesai menduduki PMR. Lebih kurang 60 orang pelajar yang ada pada hari tersebut. Aku ditugaskan untuk mendengar Hafazan pelajar-pelajar bagi 10 surah terakhir dalam Al-Quran. Oleh sebab kekangan masa, aku hanya menguji 5 surah sahaja, iaitu Surah An-Nas, Al-Falaq, Al-Ikhlas, Al-Masad, dan Al-Nashr. Aku sempat juga untuk bertanyakan mereka sama ada sudah Khatam atau belum. Ternyata, Hampir seluruh pelajar lelaki belum khatam tetapi sudah berhenti belajar. Ramai juga yang belum pun naik Al-Quran.

Alhamdulillah, pelajar perempuan pula lebih cemerlang prestasi mereka. Ramai yang telah khatam. Walaupun ada lagi yang belum habis.

Pelajar perempuan juga lebih baik hafalan mereka. Rata-rata semuanya mampu membaca 5 Surah Hafazan tersebut dengan lancar. Sebaliknya pelajar lelaki, hampir setiap pelajar tidak mampu menghafal kesemuanya dengan lancar. Pasti ada satu dua surah yang tersangkut. Malah, ada yang kantoi surah An-Nas. Syukur surah Al-Ikhlas semua mampu hafal.

Tapi, itulah reality yang sedang melanda masyarakat sekarang. Masyarakat kampong mengalami masalah ini dengan begitu serius. Ramai remaja di kampong yang tak mampu membaca Al-Quran. Padahal, gejala-gejala negatif begitu rancak mempengaruhi kehidupan mereka.

Semoga aku diberi kekuatan oleh Allah untuk melakukan sesuatu untuk merubah nasib mereka. Sekurang-kurangnya, aku mampu untuk mengajar mengaji kepada mereka, sepertimana aku pernah melakukan di SRIBU.

Nasib dan peluang mereka dengan pelajar SRIBU memang berbeza.